HARI ASYURA
Hari Asyura merupakan salah satu hari yang
diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh.
Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam
iaitu pada 10 Muharram.
Mengikut umatt Islam, hari Asyura telah
menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi.
Disebabkan itu, Umat Islam menghormati hari tersebut seperti mana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
SEJARAH HARI ASYURA
Nabi Muhammad S.A.W melakukan puasa Asyura sejak di
Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat
tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda S.AW. turut mendapati
yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah YOM KIPPUR yang juga bermaksud pada
hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa
sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam
lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya dalam
Sahih Bukhari mengatakan yang syariat berpuasa adalah pada bulan Ramadan
setahun kemudian. Kini, umat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai
amalan sunat dan bukan kewajiban.
ANTARA KEJADIAN BESAR PADA 10
MUHARRAM
- Hari pertama Allah menciptakan alam.
- Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
- Hari pertama Allah menurunkan hujan
- Allah menjadikan Arasy
- Allah menjadikan Luh Mahfuz
- Allah menjadikan Malaikat Jibril
- Nabi Adam a.s dicipta.
- Diampunkan dosa Nabi Adam setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
- Nabi Idris a.s diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrailmembawanya ke langit.
- Diselamatkan Nabi Nuh a.s dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
- Nabi Ibrahim a.s dilahirkan di kawasan pendalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
- Nabi Ibrahim a.s diselamatkan Allah dari api Raja Namrud
- Nabi Yusuf a.s dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
- Nabi Yaakub a.s telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
- Nabi Ayub a.sdisembuhkan dari penyakitnya.
- Nabi Isa a.s telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah
- Saidina Hussien bin Saidina Ali r.a. telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di padang Karbala oleh kaum Syiah Kufah, dan mereka kemudiannya memfitnah Khalifah Yazid dari Bani Umaiyah membunuh Saiyyidina Hussein r.a. Fitnah ini digembar gemburkan oleh kaum Syiah, dan mereka mengelirukan umat manusia dengan menyambut hari Asyura dengan 'pesta menyakiti diri' konon sebagai tanda kesal diatas kewafatan Saiyyidina Hussein r.a.
PUASA TAASUA DAN
ASYURA
Taisir al-Fiqh fi Dhau’
al-Quran dan al-Sunnah (Fiqh al-Siyam) :
Cetakan ketiga Muassasah
al-Risalah. m.s. 142 - 145.
Oleh : Prof Dr. Yusuf
al-Qaradhawi.
‘Aasyura (عاشوراء)
ialah hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram (المحرم ). Manakala Taasuaa’
(تاسوعاء) adalah hari yang kesembilan dari bulan yang sama. Zahir
daripada himpunan khabar (hadith-hadith) bahawasanya puasa ‘Asyura adalah
sesuatu yang dikenali di sisi kaum Quraish (قريش) pada zaman Jahiliyyah, dan
demikian juga dikenali (puasa ‘Asyura) di sisi penganut Yahudi.
Kata ‘A-isyah r.’anha :
“Hari ‘Asyura adalah
satu hari yang orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan
Rasulullah s.a.w. juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah
Nabi s.a.w. berpuasa pada hari ‘Asyura dan baginda menyuruh Umat Islam berpuasa
pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan,
Nabi s.a.w. bersabda yang
bermaksud:
“Sesiapa yang hendak,
maka berpuasalah ia (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah
ia (puasa ‘Asyura)” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Ibn ‘Abbas r.a. :
“Ketika Nabi s.a.w. sampai ke
madinah, baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura. Lalu Baginda
bersabda yang bermaksud :
“Hari apakah ini (di
sisi kamu) ?” Orang-orang Yahudi menjawab : “Hari ini adalah hari yang baik.
ALLAH telah memenangkan padanya Musa dan Bani Isra-il daripada musuh mereka
(Fir’aun dan kaumnya). Lalu Musa berpuasa pada hari ini (’Asyura).” Sabda Nabi
s.a.w. : “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu semua (orang-orang
Yahudi).” Lalu baginda berpuasa pada hari tersebut (’Asyura) dan mengarahkan
(para Sahabat) berpuasa padanya.”(Hadith riwayat al- al-Bukhari dan
Muslim)
Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah
memfardhukan (mewajibkan) puasa pada hari ‘Asyura diperingkat awal, sehingga
baginda mengutus seorang utusan untuk memberitahu kepada manusia lain untuk
berpuasa pada siang hari ‘Asyura sekalipun mereka telah makan (sebelumnya).
Apabila difardhukan puasa Ramadhan, maka dihapuskan kefardhuannya (dihapus
kefardhuan puasa ‘Asyura). Maka jadilah puasa ‘Asyura sebagai sunat sahaja.
Dari Abi Qatadah r.a. sabda
Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
”Puasa hari ‘Arafah
menghapuskan (dosa) dua tahun : Tahun yang lalu dan yang akan datang. Sedang
puasa hari ‘Asyura menghapuskan (dosa) setahun yang lalu.” (Hadith
riwayat al-Jama’ah, kecuali al-Bukhari dan al-Tirmizi – al-Muntaqa bersama Nail
al-Author, 4/323)
Nabi s.a.w. benar-benar mahu
membezakan syakhsiah Islamiah (dari yang lain) dalam setiap perkara. Supaya
Umat Islam merdeka / berbeza dari penganut yang lain, lalu baginda menganjurkan
puasa pada hari kesembilan (dalam bulan Muharram) bersama dengan puasa pada
hari kesepuluh (dalam bulan Muharram), supaya dapat dibezakan antara puasa Umat
Islam dengan puasa Ahli Kitab.
Dari Ibn ‘Abbas r.a. berkata :
“Ketika Nabi s.a.w.
berpuasa pada hari ‘Asyura, dan baginda menyuruh para sahabat berpuasa
padanya.”Para Sahabat berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu hari
yang dibesarkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasara.” Lalu Sabda Nabi s.a.w. :
“Maka pada tahun hadapan insyaALLAH kita akan berpuasa (bermula) pada hari
kesembilan.” Lalu Ibn ‘Abbas menceritakan : “Tidak sempat datang tahun hadapan,
Nabi s.a.w. diwafatkan (oleh ALLAH s.w.t.).” (Hadith riwayat Muslim
dan Abu Daud)
Tidak didapati sesuatu yang
lain sempena ‘Asyura selain puasa. Adapun perkara yang diada-adakan oleh
sebahagian manusia seperti berhias, mandi, bercelak, dan meluaskan berbelanja
ahli keluarga pada hari itu, atau menjadikan hari tersebut sebagai perayaan
yang disembelih padanya binatang sembelihan, dan meluaskan / perbanyakkan
sesuatu amalan padanya- Semua ini daripada sesuatu yang tidak ada asalnya dari
agama ALLAH, dan tidak ada dalil atasnya sesuatu dalil yang sahih. Zahirnya
perkara-perkara ini dilakukan sebagai membantah perbuatan Syiah yang menjadikan
hari ‘Asyura sebagai hari kesedihan dan tahun kemurungan (seperti apa yang
dilakukan wanita yang kematian suami), memukul dada, menampar pipi, dan
mengoyak pakaian sebagai mengingati musibah yang berlaku kepada al-Syahid yang
dizalimi al-Husain bin ‘Ali r.’anhuma. Semua dua golongan ini berada dalam
kesalahan. Tidak boleh mengubah Bid’ah dengan Bid’ah, tidak boleh membaiki
sesuatu yang diubah (dalam ugama) dengan sesuatu lain yang diubah juga.
Sebaliknya rujukan dalam semua hal adalah apa yang disyariatkan oleh ALLAH dan
RasulNYA.
Imam Ibnu Qayyim Berkata :
“Hadith-hadith tentang bercelak pada hari ‘Asyura, berhias, meluaskan
sesuatu perkara, solat khusus pada hari ‘Asyura dan selainnya dari
perkara-perkara kelebihan tidak ada yang sahih sesuatupun, demikian juga tidak
ada satu hadith, tidak ada yang thabit dari Nabi s.a.w. sesuatupun selain dari
hadith-hadith tentang puasa. Dan apa yang lain dari puasa adalah Batil. Contoh
dalam perkara ini ialah (hadith rekaan) :
“Sesiapa yang meluaskan memberi makan keluarganya pada hari ‘Asyura,
ALLAH akan meluaskan untuknya sepanjang tahun.”
Imam Ahmad berkata : “Hadith
ini tidak Sahih.”
Adapun hadith tentang
bercelak, memakai minyak dan wangian adalah dari pemalsuan para pendusta,
mereka (mengada-adakan semua ini untuk) membantah golongan lain yang menjadikan
hari ‘Asyura sebagai hari kesedihan. Kedua-dua golongan ini adalah dari
puak-puak Bid’ah yang terkeluar dari Sunnah Nabi s.a.w. Sedangkan Ahl al-Sunnah
pada hari ‘Asyura melakukan ibadat puasa seperti apa yang disuruh oleh Nabi
s.a.w. dan mereka menjauhi apa-apa yang disuruh oleh Syaitan dari
perkara-perkara Bid’ah.” (al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaief)
Ulasan
Catat Ulasan