CERAI TAKLIK DAN PERLAKSANAANNYA DI MALAYSIA


i.          Definisi

Cerai taklik diertikan sebagai menggantung terjadinya cerai dengan berlakunya sesuatu  yang perkara digantungkan, tanpa mengira perkara yang digantungkan itu berhubung dengan kelakuan manusia atau pun sebaliknya.

Daripada definasi tersebut maka jelaslah bahawa cerai taklik ialah satu bentuk perceraian yang bertujuan menceraikan isteri pada masa hadapan dengan menggunakan lafaz syarat ( إن) bermaksud sekiranya atau ( إذا   ) bermaksud ketika dan perkataan lain yang seumpamanya.

ii.         Hukum Perceraian Taklik
 Terdapat beberapa pendapat yang menyatakan mengenai perkara ini:


1.    Jumhur Fuqaha` termasuk Ibn Jarir, Ibn Rushd, al-Tabari

Cerai taklik adalah sah, tanpa mengira lafaz tersebut benar-benar bertujuan menceraikan isteri atau taklik berupa sumpah yang bukan bertujuan menceraikan isteri. Ia adalah lafaz semata-mata yang bertujuan untuk menghalang isterinya daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh suami atau ia bertujuan untuk mendisiplin isteri


2.    Mazhab al-Zahiri dan Syiah Imamiyyah

Perceraian secara taklik adalah tidak sah, sama ada sesuatu taklik yang dilafazkan itu bertujuan untuk menceraikan isteri ataupun yang berbentuk sumpah. Oleh itu lafaz tersebut tidak menggugurkan talak dalam apa hal sekali pun.


3.    IbnuTaymiyyah dan Ibn Qayyim

Golongan ini membezakan antara taklik yang bertujuan menceraikan isteri dengan taklik yang berbentuk sumpah. Taklik yang bertujuan untuk menceraikan isteri akan mengugurkan talak dan taklik yang berbentuk sumpah tidak menggugurkan talak.

Pendapat ini telah diterima pakai oleh kerajaan Mesir setelah tergubalnya Undang-undang Keluarga Islam Mesir pada tahun 1929

iii.        Pendalilan

(Dalil Jumhur Fuqaha`)         

1.    Al-Quran, firman Allah s.w.t

يا أيها الذين آمنوا أوفوا بالعقود
Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman sempurnakan janji-janji kamu.

Daripada ayat tersebut mereka berpendapat uqud dalam ayat tersebut mempunyai pengertian yang luas, dan ia juga merangkumi janji menceraikan isteri dengan berlaku sesuatu perkara yang dijanjikan atau ditaklikkan.

2.    Al-Sunnah. Sabda Nabi s.a.w

المسلمون عند شروطهم

            Bermaksud:Orang-orang Islam terikat dengan janji-janji mereka.

Ini bermaksud seorang suami terikat dengan dengan taklik yang lafazkan.

3.    Akal
Kuasa talak sepenuhnya berada di tangan suami sepenuhnya. Oleh itu mereka bebas menceraikan isteri secara serta merta atau pun dengan cara bertaklik pada masa hadapan.

4.    Fatwa sahabah
Perceraian secara taklik pernah berlaku pada masa sahabi dan mereka memfatwakan  dengan jatuh talak sekiranya berlaku perkara yang ditaklikkan.


(Dalil Mazhab Kedua)

Taklik tidak menggugurkan talak kerana taklik adalah sebagai sumpah, dan bersumpah selain daripada nama Allah tidak diharuskan. Sabda Rasulullah s.a.w.

من يحلف فلا يحلف إلا بالله
Bermaksud: sesiapa yang bersumpah, maka janganlah ia bersumpah melainkan dengan nama Allah.

Oleh itu taklil ysng dilafazkan oleh suami untuk menceraikan isteri tidak menggugurkan talak kerana ia bersumpah bukan dengan nama Allah.


(Dalil Mazhab ketiga)

Golongan ini berpegang dengan fatwa sahabat yang mengatakan gugur talak sekiranya sesuatu taklik itu bukan berbentuk yamin iaitu bertujuan untuk menceraikan isteri, tetapi tidak gugur talak sekiranya sesuatu taklik itu berbentuk yamin.



iv.        Kesimpulan/tarjih

Daripada  ketiga-tiga pendapat di atas didapati pendapat golongan pertama adalah lebih kuat berbanding dengan pendapat golongan kedua dan ketiga.Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah 
s .a.w.

ثلاثة جدهن جد وهزلهن جد: النكاح والطلاق والعتق

Bermaksud: Tiga perkara tetap berlaku sama ada diucapkan secara bersungguh-sungguh atau secara bersungguh-sungguh atau secara senda-senda, iaitu kahwin, talak dan memerdekakan hamba.


v.         Amalan Talak Taklik di Malaysia

Perceraian melalui lafaz taklik ini diperakui sah di Malaysia, malah pengharusan ini diperuntukkan secara jelas dalam enakmen-enakmen keluarga Islam bagi setiap negeri di Malaysia.

Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat Perceraian menurut syarat-syarat perakuan taklik yang dibuat selepas perkahwian, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa peerceraian yang demikian telah berlaku.

Daripada peruntukan tersebut jelas menunjukkan bahawa enakmen memperakui  sah bagi taklik berikut:

i. Taklik yang diperkatakan oleh jumhur Fuqaha yang dibincangkan sebentar tadi, taklik ini dilakukan oleh suami tanpa terikat dengan lafaz-lafaz yang disediakan oleh pihak pemerintah, suami bebas sama ada ingin bertaklik atau tidak semasa perkahwinannya. Taklik ini biasanya dilakukan oleh suami terhadap isteri apabila timbul  salah faham antara mereka, sebagai contoh dalam kes Nora bt Nawi lawan suaminya Ahmad Zamri, Nora telah memohon kepada mahkamah untuk mengesahkan berlakunya dua taklik yang dibuat oleh suaminya (kes Mal. 16/1987)

Taklik pertama

“Kalau Nor balik ke rumah abah atau mama ke Genting (Tumpat, Kelantan) pada waktu ini, maka jatuhlah talak satu”


Taklik kedua
“ Kalau nak juga apa yang Nor  minta, abang rasa cara yang paling baik ialah dengan Nor turun dari rumah ini(rumah sewa) bersendirian tanpa izin abang ke Genting(rumah ibu bapa isteri), abang rasa dengan cara ini dapatlah apa yang dikehendaki itu”.

Kedua-dua taklik ini dibuat berpunca daripada perselisihan yang timbul. Isterinya mendesak Ahmad Zad zamri menceraikan beliau, atas desakan itu suaminya bertaklik sebagaimana di atas.

Taklik pertama dilafazkan semasa Nora berada di rumah mertuanya bersama-sama Ahmad Zamri, manakala taklik kedua dilafaz semasa mereka berada di rumah sewa.

Selepas taklik kedua ini Nora bersama Ahmad Zamri pulang bersama-sama ibu bapa Ahmad Zamri. Semasa di rumah ini Nora jatuh sakit, ibu bapa Nora datang membawa anaknya pulang ke rumah mereka. 

Berdasarkan kepada taklik-taklik di atas , isterinya memohon mahkamah untuk mengesahkan taklik telah berlaku dan perceraian juga telah berlaku.

Mahkamah memutuskan taklik pertama dengan sendirinya tergugur, oleh itu talak tidak berlaku, kerana pada masa itu Nora tidak pulang ke rumah ibu bapanya, sebaliknya beliau pulang ke rumah sewa bersama suaminya Ahmad Zamri.

Lafaz taklik kedua masih  belum dilanggar kerana Nora tidak balik ke rumah ibu bapanya bersendirian atau tanpa izin suaminya. Dengan itu talak tidak jatuh kerana perkara yang ditaklik belum dilanggar, bagaimanapun lafaz taklik itu masih berfungsi kepada pasangan tersebut, kerana menurut syarak lafaz taklik tidak boleh ditarik semula.

ii. Adapun lafaz taklik yang dilafazkan oleh setiap suami atau yang disediakan oleh pihak pendaftar perkahwinan adalah berbeza dengan lafaz taklik yang diceritakan sebelum ini kerana lafaz taklik tersebut mengikat para suami daripada melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan si isteri.

Di Malaysia setiap negeri mempunyai lafaz taklik tersendiri, pada dasarnya kesemua lafaz ini adalah untuk untuk mengikat suami daripada melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan si isteri, oleh itu si isteri berhak meminta cerai taklik sekiranya suami melanggar apa yang ditaklikkannya.

Antara taklik itu ialah:


i.               Negeri Selangor

“ Tiap-tiap kali saya …………… tidak memberi nafkahnya akan isteri saya akan nafkahnya yang mencukupi pada  adat lamanya empat bulan, atau lebih, maka bolehlah isteri saya itu mengadu kepada hakim syara`. Jika disabitkan oleh hakim itu akan aduannya ,, maka gugurlah talak satu. Dan tiap-tiap kali saya rujukan isteri saya yang tersebut kepada nikahnya dengan ketiadaan redanya, maka gugurlah pula talak satu”

Namun begitu lafaz … “Dan tiap kali …… hingga akhir  telah digugurkan dan dihapuskan pengamalannya di Selangor.

Berdasarkan lafaz tersebut Aisnya bt Mohd Daris telah memohon daripada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan berlakunya taklik yang dilafazkan oleh suaminya Fahro Rozi dalam satu majlis akad nikah. (kes Mal 5/1989). Sisteri membuat tuntutan kerana suaminya tidak pulang lebih daripada  empat bulan dan tidak memberi nafkah dalam tempoh tersebut, oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan berpendapat ia berbidang kuasa mendengar kes tersebut di bawah Sek. 50(1 dan (2) iaitu perceraian  melalui taklik janji, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah 1984.

Perbicaraan di adakan selama  empat hari (11 Jan, 22 Feb, !4 & 16 Jun 1989). Dalam kes ini suami hadir dan mengaku telah melafazkan taklik tersebut seperti mana yang tercatit  di belakang surat nikah bil. 16/69.

Mahkamah berpendapat isteri tidak nusyuz dan berhak mendapat nafkah., walaubagaimana pun mahkamah tidak mensabitkan tuntutan taklik, kerana mahkamah berpendapat saham-saham yang diberikan atas nama isteri boleh dianggap sebagai nafkah, ini beerti suami masih belum melanggar taklik yang dilafazkan.

Isteri tidak berpuas hati dengan keputusan hakim Mahkamah Rendah Wilayah Persekutuan lalu dibuat rayaun ke Lembaga Rayuan Syariah, kerana alasan berikut:

Tidak ada bukti yag saham itu adalah milik suami(responden) dan oleh itu tidaklah adil meminta pihak isteri membelanjakan untuk nafkahnya daripada hartanya sendiri.

Oleh kerana suami tidak memberi nafkah kepada isterinya lebih daripada empat bulan, isteri itu berhak mendapat cerai taklik.

Kami oleh kerana itu membenarkan rayuan perayu(isteri) dan mengesahkan ia telah dicerai dengan satu talak.

Daripada kes ini jelas menunjukkan bahawa Jemaah Rayuan berpendapat suami telah melanggar taklik yang dilafazkan dan perceraian disabitkan.

ii.             Negeri Kedah

Manakala aku meninggalkan isteriku …. Selama enam bulan, kemudian mengadu kepada hakim dan sabit yang ddemikian itu pada sisinya, maka pada ketika itu tertalaklah ia dengan talak satu.

Di Kedah Mahkamah Khadi Alor Star telah mensabitkan tuntutan taklik yang dipohon oleh seorang isteri, Fatimah bt Hj. Abdullah terhadap suaminya, Mat Said bin Abdullah, keputusan ini dibuat kerana suaminya telah meninggalkannya lebih daripada enam bulan, ini menunjukkan bahawa beliau telah melanggar apa yang ditaklikkan.

iii.           Negeri Kelantan

Bahawa adalah saya…….. dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya….. selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama yang tersebut pada hal dia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badanya atau saya tidak mempedulikannya selama empat bulan atau lebih kemudian ia mengadu kepada kadhi/ hakim syarak dan manakala sabit aduannya dan ia memberi kepada kadhi/ hakim syarak bagi pihak saya sebanyak RM 1.00  maka ketika itu tertalaklah ia dengan satu talak khuluk.

Lafaz taklik di kelantan ini mengikat suami dari melakukan perkara yang ditaklikkan. Sekiranya  suami melanggar perkara-perkara tersebut isteri berhak memohon perceraian`taklik melalui mahkamah dan apabila ia disabitkan oleh mahkamah, perceraian menjadi talak “bain sughra”. Suami tidak boleh merujuk isteri melainkan dengan akad baru yang mesti memenuhi segala rukun-rukun dan syarat-syarat perkahwinan. Pelanggaran taklik ini dapat dilihat dalam kes Zainun bt Issa lawan Hussein bin Omar, dalam kes ini yang kena tuntut telah melanggar taklik  dan mahkamah mengesahkan jatuh talak khuluk.

iv.           Negeri Terengganu

 Tiap-tiap kali saya tiada bersekedudukan dengan isteri saya…..binti….. yang tersebut itu bagi tempoh empat bulan dengan tiada putus-putus sama ada saya meninggalkan  akan dia atau dia meninggalkan  akan saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala mengadu ia akan kadi atau naib kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan  bersekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya itu …… dengan talak satu.

v.             Negeri Pahang
Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya……… selama 4 bulan hijrah secara berturut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa saya yang tersebut, padahal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan apabila sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya RM1.00 maka pada ketika itu tertalaklah ia dengan secara talak khulie.

Lafaz-Lafaz Taklik Yang Meragukan

Lafaz taklik adalah dipakai di seluruh Malaysia dan ia tidak bertentangan dengan maksud syarak, kerana ia menjaga kemaslahatan isteri. Namun begitu terdapat keraguan mengenai beberapa lafaz takllik antaranya lafaz taklik yang diamalkan di negeri Kelantan iaitu :

 “dan manakala sabit aduannya dan ia memberi kepada kadhi/ hakim syarak bagi pihak saya sebanyak RM 1.00  maka ketika itu tertalaklah ia dengan satu talak khuluk”.

Maksud lafaz taklik tersebut tidak jelas, apakah yang dimaksudkan dengan lafaz(bagi pihak saya). Apakah isteri memberi seringgit kepada hakim sebagai mewakili suami, atau ia memberi kepada hakim dan hakim menerimanya sebagai mewakili suami.

Kalau dilihat kepada lafaz di atas pengertian pertama lebih tepat iaitu isteri memberi seringgit kepada hakim bagi pihak suami bukan dengan pengertian kedua. Akan tetapi kalau itu yang dimaksudkan maka talak khulu` tersebut adalah tidak sah. Kalau dimaksudkan dengan pengertian kedua maka talak khulu` tersebut adalah sah namun takwilan tersebut amat jauh daripada lafaz tersebut.
Adapun lafaz taklik di Terengganu pula adalah terlalu longgar kerana lafaznya

“sama ada saya meninggalkan  akan dia atau dia meninggalkan  akan saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala mengadu ia akan kadi atau naib kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan  bersekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya itu …… dengan talak satu”.

Lafaz ini memberi peluang kepada isteri menceraikan suaminya.perkara ini bertentangan dengan konsep perceraian dalam Islam.

Antaranya lagi ialah lafaz taklik negeri  Selangor iaitu

“Dan tiap-tiap kali saya rujukan isteri saya yang tersebut kepada nikahnya dengan ketiadaan redanya, maka gugurlah pula talak satu”
lafaz ini membawa maksud suami tidak boleh rujuk kepada isterinya tanpa kebenarannya, kalau ia rujuk juga bukan sahaja rujuk tidak sah malah akan menyebabkan bertambahnya jumlah talak. Akan tetapi takli ini sudah tidak dipakai kerana bertentangan dengan firman Allah

وبعولتهن أحق بردهن في ذلك إن أرادوا إصلاحا ولهن مثل الذي عليهن
بالمعروف وللرجال عليهن درجة والله عزيز حكيم
Bermaksud:Suami-suami mereka berhak mengambil kembali isteri-isteri itu dalam masa eddah mereka, jika suami bertujuan untuk berdamai.
(al-Baqarah: 228)


Kesimpulan

Lafaz taklik sama ada yang dibuat oleh suami secara sukarela atau yang disediakan oleh Pendaftar perkahwinan adalah sah dari sudut syarak. Namun perlu disemak semula beberapa lafaz yang meragukan semoga lafaz ini dapat diseragamkan di seluruh Malaysia.

Rujukan:
  1. Abu al-Aynayn Badran, al-Ziwaj wa al-Talaq fi al-Islam, Iskandariyyah: Muassasat Shabab al-Jamiah, 1967.
  2. Wahbah Zuhaili, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Damshik: Dar al-Fikr, 1989.
  3. Khalid, ahkam al-Ahwal al-Sakhsiyyah Fi al-Shariah al-Islamiyyah, Beirut:al-Mahbab al-Tijari.
  4. Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah, 1984Sayyid
  5. Sabiq, Fiqh al-Sunnah jil. 2.



                                                                                                                                                                                                                                     


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Konsep Salam

Saidina Umar Dan Isterinya