HUKUM-HUKUM YANG BERKAITAN DENGAN IBADAT PESAKIT
1. PENDAHULUAN
Akhir zaman melihatkan kita
berbagai jenis pesakit yang menyerang manusia, kecanggihan sains perubatan
moden masih belum cukup untuk menyelesaikan masalah manusia, namun begitu Islam
sebagai agama yang sesuai sepanjang zaman tetap relevan untuk memastikan
penganutnya sentiasa melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai hamba.
Bagi pesakit sentiasa terbatal wuduk dengan keluar sesuatu yang
membatalkannya adalah amat sukar dielakkan, seperti pesakit yang sentiasa keluar titisan-titisan air
kencing atau terkentut atau perempuan yang istihadhah yang keluar darah
daripada kelaminnya bukan pada hari-hari haid dan nifas. Bagaimanakah kedudukan
sembahyang mereka ini.
2. KEDUDUKAN SOLAT BAGI PESAKIT
Selagimana manusia itu sedar atau berakal maka kewajipan menunaikan
solat tidak akan gugur daripada mereka. Bagi pesakit yang mengalami penyakit
seperti yang disebut di atas maka mereka perlulah berubat seberapa segera,
dalam keadaan sakit mereka hendaklah mengambil wuduk setiap masa kemudian menunaikan solat yang sepatutnya.
Syarak memberi kemaafan kepadanya walaupun perkara yang diuzurkan itu sentiasa
keluar daripadanya ketika menunaikan solat.
Bagi orang yang sakit dan tidak
mampu berdiri diwajibkan juga menunaikan solat dengan mengikut kemampuannya.
Pesakit boleh solat dengan cara duduk iaitu dari awal takbirratulihram hingga
tahiyat akhir. Bagi rukuk dan sujud ada sedikit perbezaan iaitu sujud lebih
rendah tunduknya berbanding dengan rukuk. Rukun-rukun yang lain ditunaikan
seperti biasa cumanya sambil duduk.
Kalau tak mampu duduk, pesakit
boleh mengerjakannya dengan cara tidur melentang iaitu kedua belah kaki
diarahkan ke arah kiblat, kepala ditinggikan dengan alas bantal dan muka
diarahkan ke kiblat. Cara pelaksanaannya ialah semasa hendak rukuk, cukup
menggerakkan kepala ke muka manakala sujud pula ialah menggerakkan kepala lebih
ke muka dan lebih ditundukkan manakala rukun-rukun yang lain pula dilakukan
secara tidur tadi dan kita sendiri yang memandunya.
Jika duduk seperti biasa dan
berbaring juga tidak mampu, maka boleh dilakukan dengan cara tidur mengiring ke
sebelah kanan dan mengadap kiblat (sama dengan mayat yang diletakkan di dalam
liang lahat). Rukuk dan sujud cukup digerakkan kepala menurut kemampuannya.
Jika tak mampu juga dengan cara
di atas, maka cukup dengan isyarat, baik dengan kepala maupun dengan mata. Dan
jika semuanya tidak mampu, maka boleh dikerjakan dalam hati, selagi akal dan
jiwa masih ada.
3. BILAKAH PESAKIT PERLU BERWUDUK
Menurut pendapat Mazhab Maliki adalah sunat kepada
pesakit mengambil wuduk selepas masuk waktu dan terus menunaikan solat, mereka
juga disunatkan memperbaharui wuduk bagi setiap waktu solat. Sekiranya ia
mengetahui keuzuran yang dihadapinya akan hilang pada masa-masa tertentu yang
boleh memberi ruang kepadanya untuk bersuci dan menunaikan solat maka ia perlu
menunggu terlebih dahulu sehingga tiba masa tersebut, pada ketika itu barulah
ia boleh bersuci dan menunaikan solat.
Pendapat mereka ini adalah berdasarkan
kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah daripada Urwah Ibn
al-Zubair, Fatimah binti Abi Hubaissyh menemui Rasulullah s.a.w dan mengadu
didatangi oleh darah, sabda Bagind s.a.w. kepada beliau:
إنما ذلك عرق
فانظرى إذا أتى فلا تصلى، فإذا مر القرء تطهرى ثم صلى ما بين القرء إلى القرء
Bermaksud: Sesungguhnya ia adalah darah haid,
lihatlah jika ia datang, jamganlah anda bersolat, Apabila masa haidnya telah
berlalu, bersucilah kemudian tunaikanlah
solat sepanjang tempoh suci di antara haid itu.
Mazhab Hanafi dan Hambali pula berpendapat adalah wajib bagi pesakit
tersebut memperbaharui untuk setiap waktu solat. Wuduk tersebut diambil setelah
masuk waktu dan ia hanya boleh menunaikan solat dengan wuduk tersebut sahaja.
Wuduknya tidak terbatal dengan keluar sesuatu yang diuzurkan tetapi akan
terbatal dengan sebab hadas yang lain, Mazhab Hanbali berpendapat apabila waktu solat telahpun tamat
maka batallah wuduk tersebut. Malah bagi mereka sekiranya seseorang pesakit
yang mengambil wuduk untuk menunaikan solat kemudian ia tidak emnunaikan solat
terseut sehinggalah masuk waktu solat yang lain maka wajib ke atasnya
mengulangi wuduk.
Mazhab al-Syafi`e berpendapat orang yang uzur perlu meraikan
enam perkara sebelum berwuduk dan menunaikan solat iaitu:
- Menunggu masuk waktu solat.
- Beristinjak dengan sempurna.
- Menyumbat tempat keluar hadas jika mampu berbuat demikian tanpa sebarang masyaqqah.
- Hendaklah berwuduk selepas beristinjak.
- Hendaklah diniatkan dengan wuduk yang diambilnya untuk mengharuskan hadas yang menghalanginya dan tidak diniatkan untuk mengangkat hadas semata-mata, ianya tridak dapat mengangkat hadas seperti juga tayamum. Antara lafaz niat yang boleh digunakan ialah:
نويت الوضوء لإباحة الصلاة أو لقراءة القرآن
Bermaksud: Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan solat atau untuk membaca al-Quran
4. Menunaikan
solat serta merta selepas mengambil wuduk, tidak boleh dipisahkan antara
mengambil wuduk dan solat kecuai dengan kadar yang diperlukan.
Bagaimanapun wuduk ini adalah untuk digunakan untuk satu solat
fardhu sahaja dan boleh digunakan untuk menunaikan lebih daripada satu solat
sunat.
Pendapat ketiga-tiga mazhab ini adalah bersandarkan kepada sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Aisyah r.a. Fatimah binti
Hubaisyh menemui Rsulullah s.a.w. katanya: Wahai Rasulullah s.a.w. saya
didatangi darah istihadah, saya tidak dapat bersuci, adakah saya boleh
meninggalkan solat? Sabda Rasulullah s.a.w.
إنما ذلك
عرق وليس بحيض فإذا أقبلت حيضتك فدعي الصلاة وإذا أدبرت
فاغسلي
عنك الدم ثم صلي قال وقال أبي ثم توضأ
لكل صلاة حتى يجيء ذلك الوقت
Bermaksud: Sesungguhnya itu adalah
darah penyakit bukannya darah haid apabila datah haid anda datang,
tinggalkanlah solat. Apabila ia berhenti, basuhlah darah tersebut kemudian
berwuduk untuk setiap kali kali solat sehingga datang waktu itu.
5. Kesimpulan:
Daripada pembentangan pendapat dan hujah yang dipakai oleh setiap
pendapat maka adalah paling awal kita memakai pendapat tiga mazhab yang akhir.
Orang yang sakit wajib berwuduk pada tiap kali ingin menunaikan solat fardhu
dan ia perlu melakukan demikian selepas masuk waktu dan terus sahaja menunaikan
solat.
Tayammum
Tayammum disyari'atkan oleh agama berdasar ayat
:
MAKSUDNYA :
Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu
hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah)
Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan
sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu
meliputi buku lali; dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah Dengan
mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau Dalam pelayaran,
atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh
perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka
hendaklah kamu bertayamum Dengan tanah - debu Yang bersih, iaitu: sapulah muka
kamu dan kedua belah tangan kamu Dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu
menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak
membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu,
supaya kamu bersyukur.
(Surah Al Maidah : Ayat 6)
Syarat-syarat
tayamum
- Ketiadaan air atau kesukaran untuk mendapat air
- Keuzuran kerana sakit. Seperti luka yang tidak boleh terkena air kerana kalau terkena air penyakit itu akan bertambah teruk.
- Ada air tetapi hanya mencukupi untuk diminum atau keperluan binatang yang di-hormati.
- Tayamum hendaklah dilakukan setelah masuk waktu sembahyang.
Rukun Tayamum
Rukun tayamum itu ada 4 dimulai dengan niat seperti berikut :
- “Sahaja aku bertayamum bagi mengharuskan sembahyang kerana Allah Taala”
- Menyapu debu tanah ke muka. Mula-mula kita tekap kedua-dua belah tapak tangan kita pada debu tanah kemudian kibaskan sedikit supaya debu itu tidak terlalu tebal. Seterusnya sapukan ke bahagian muka dengan sekali sapu.
- Menyapu debu ke tangan dengan debu yang lain bukan debu yang telah disapu ke tangan tadi. Kita perlu bersihkan tapak tangan kita dari debu yang telah digunakan untuk menyapu muka tadi. Kemudian tekap sekali lagi ke debu yang masih tinggal dan sapulah bahagian tangan sekali sapu dimulai dengan tangan kanan dan seterusnya tangan kiri.
- Tertib
- Setiap tayammum hanya boleh digunakan untuk satu solat fardhu dan boleh untuk beberapa solat sunat. Maksudnya, setiap kali masuk waktu sembahyang tayamum kita perlu dilakukan semula.
Perkara yang membatalkan tayamum
Perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ kita samalah seperti perkara-perkara yang membatalkan wudhu’ ditambah dengan 2 perkara lagi iaitu:-
- Murtad iaitu keluar dari Islam
- Dan kedapatan air setelah bertayamum tapi belum lagi melakukan solat. Dalam keadaan ini kita perlu mengambil wudhu’ untuk bersolat. Akan tetapi sekiranya sesudah solat baru kedapatan air maka solat tadi tidak perlu diulangi lagi.
Perkara yang membatalkan wudu’
- Keluar sesuatu benda daripada salah satu daripada dua saluran kemaluan(qubul dan dubur) sama ada perkara biasa keluar seperti tahi, kencing mahupun yang tidak biasa seperti darah, batu atau sebagainya tetapi mani tidak dikira membatalkan wuduk, hanya sekadar mewajibkan mandi hadas.
- Tidur yang tidak tetap punggungnya. Oleh itu tidur orang yang baring hukumnya batal sama ada tetap atau tidak, tetapi tidur orang yang duduk yang tetap punggungnya tidak batal wuduk.
- Hilang akal dengan sebab mabuk atau sakit.
- Bersentuhan kulit lelaki dengan kulit perempuan tanpa berlapik. Tidak kira sentuhan itu menimbulkan syahwat ataupun tidak. Maksudnya ialah perempuan atau lelaki ajnabi.
- Menyentuh kemaluan hadapan manusia baik lelaki atau perempuan atau dirinya sendiri dengan perut tapak tangan termasuk perut anak jari maka batal wuduknya. Tetapi sekiranya tersentuh dengan belakang tapak tangan hukumnya tidak batal.
- Menyentuh halqah (lubang) dubur manusia dengan tidak berlapik.
Seperti yang termaktub di dalam Surah Al Maidah
tadi, tayamum juga boleh digunakan sebagai ganti air untuk mandi setelah
berlaku ke atas kita perkara-perkara yang mewajibkan kita mandi seperti keluar
haid, nifas, air mani, bersetubuh dengan isteri dan lain-lain lagi. Dalam
keadaan ini bukanlah kita perlu mandi debu. Tidak! Hanya yang diperlukan ialah
kita lakukan seperti mana kita lakukan tayamum untuk bersolat tadi iaitu
menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan dua belah tangan.
Apakah
tayamum mengangkat (membersihkan) Hadas kecil sahaja?
Jawapan
: Tayamum adalah pengganti wudhu untuk
menghilangkan mana' atau cegahan sembahyang dan bukan mengangkat hadath. Orang
yang berhadath kecil atau besar atau yang uzur menggunakan air kerana sakit,
boleh bersembahyang dalam keadaan berhadath jika telah melakukan tayamum.
Ertinya apabila orang yang berhadath besar itu bertemu dengan air, maka
wajiblah dia mandi, untuk melakukan sembahyang.
Bagaimana
orang yang sakit dan tidak boleh kena air, hendak membersihkan hadas besar,
seperti bersetubuh ataupun keluar mani dalam mimpi?
Jawapan
: Orang yang sakit dan uzur dari terkena air, boleh
bertayamum ganti daripada mandi. Jikalau dia hendak melakukan ibadah seperti
sembahyang, maka hendaklah dibuat dua kali tayamum, satu untuk mandi hadath dan
satu ganti untuk wudhu'. Yang demikian sahlah sembahyangnya tiada kena qada.
Dan perlu diingat Tayamum hanya sah untuk satu solat fardhu dan beberapa sunat.
Berdasar ayat di atas, sesuai kesepakatan para
ulama, tayamum kedudukannya hanya sebagai pengganti bersuci wudu’ (jika
berhadas kecil) dan bersuci mandi (jika berhadas besar/junub).
Jadi kita hanya boleh bertayamum jika memang tidak menemukan air untuk bersuci (mandi dan atau wudu). Masuk dalam kategori "tidak menemukan air" ini dua hal:
1. Tidak boleh menggunakan air kerana berbagai alasan:
a. Alasan sakit; kerana jika anggota badan yang sakit yang
wajib kena air wudu’ terkena air akan bertambah sakit.
b. Takut dari sesuatu yang membahayakan, yang menghalangi kita
dari tempat air. Misalnya ada musuh atau haiwan buas yang menghalangi untuk
mencapai air.
c. Keperluan kita terhadap air. Ini misalnya kita mempunyai
persediaan air yang hanya cukup untuk keperluan yang lebih darurat, seperti
minum (baik untuk diri sendiri, kawan, orang lain, atau haiwan yang kehausan).
Begitu juga jika kita mempunyai persediaan air yang hanya cukup untuk
menghilangkan najis, maka diperbolehkan tayamum.
d. Tidak mempunyai alat untuk mengambil air. Seperti tidak
mempunyai timba untuk menimba dari sumur, sementara waktu solat tinggal
sebentar.
2. Tidak menemukan air di sekitar kita, dan jika kita mencari
air maka habislah waktu solat.
Jadi pada dasarnya, apa yang memperbolehkan kita untuk
melakukan tayamum adalah kesulitan kita untuk menemukan air atau berhalangan
menggunakannya (walaupun kita punya air).
HUKUM MENYAPU AIR
KE ATAS PEMBALUT LUKA ATAU PATAH
Pendahuluan dan Dalil
Maksud pembalut luka di
sini ialah balutan selepas pembedahan, luka parah yang memudaratkan.
Antara dalil disyariatkan
menyapu ke atas pembalut luka atau patah ialah
i. Hadis Ali bin Abi Talib
انكسرت إحدى زندى فسألت النبى صلى الله عليه وسلم فأمرنى أن أمسح على
الجبائر
Bermaksud:
Salah satu sendiku telah patah maka aku bertanya Nabi s.a.w. mengenainya, lalu Baginda
menyuruhku menyapu ke atas pembalut patah.
ii.
Hadis
riwayat Jabir bin Abdullah mengenai seorang lelaki yang luka di kepala kemudian
bermimpi lalu ia mandi junub selepas itu ia mati,
إنما يكفيك أن يتيمم ويعصب على
جرحه خرقة ثم يمسح عليها ويغسل سائر الجسد
Bermaksud:
Sesungguhnya memadailah ia bertayamum dan membalut lukanya dengan perca kain
kemudian ia sapu dengan air ke atas balutan tersebut dan mandi seluruh
badannya.
iii. Hadis riwayat Dar al-Qutni daripada Ali
bin Abi Talib
سألت رسول الله
صلى الله عليه وسلم عن الجبائرتكون على الكسركيف يتوضاء صاحبها وكيف يغتسل إذا
اجتنب ؟ قال يمسح بالماء عليها فى الجنابة والوضوء
Bermaksud:Aku
bertanya Rasulullah s.a.w. mengenai cara berwuduk dan mandi junub bagi
seseorang yang memakai pembalut kerana patah. Baginda bersabda “hendaklah ia
menyapu dengan air ke atas pembalut semasa mandi junub dan berwuduk.
iv. Firman Allah s.w.t
ما يريد الله ليجعل عليكم من حرج
Allah tidak mengkehendaki kamu berada
dalam kesulitan
(al-Maidah:6)
Dalam masalah ini kita
dapati mencabut dan membuka pembalut luka atau patah adalah satu kesulitan,
keadaan ini amat memerlukan kepada menyapu air ke atas pembalut tersebut. Malah
kita melihat kesulitan membuka pembalut tersebut melebihi kesulitan membuka
khuf, oleh itu pensyariatan ke atas balutan lebih di utamakan daripada hukum
menyapu ke atas khuf.
Pendapat Ulamak Pada
Hukum Menyapu ke atas Pembalut Luka atau Patah
1. Mazhab Hanafi
Hukumnya adalah wajib bukannya fardu.
Ini berdasarkan kepada
hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a. yang telah di sebutkan sebelum
ini. Hadis ini adalah hadis ahad oleh itu ia tidak membawa hukum fardu yang
memerlukan dalil Qat`i.
2. Jumhur
Ulamak(Malikiyyah, Syafiiyyah dan Hanabiliyyah)
Hukum menyapu air ke atas
pembalut luka atau patah adalah wajib. Kerana selagi mampu menggunakan air maka
wajib menggunakannya.
Pendapat ini adalah
berdasarkan kepada:
- Hadis riwayat Ali yang disebutkan sebelum ini.
- Qias ke atas memakai khuf, kerana keduanya mengandungi unsur dharurat, malah menyapu air ke atas balutan ini adalah lebih wajar daripada menyapu ke atas khuf.
Adakah Disyaratkan
Memakai Pembalut Luka atau Patah Dalam Keadaaan Suci
1. Mazhab Syafie dan
Hambali(mengikut satu riwayat)
Pemakainya mestilah dalam
keadaan suci
Pendapat ini adalah
berdasarkan kepada:
- qias kepada penggunaan khuf yang mensyaratkan pemakainya mestilah dalam keadaan suci.
- Hadis riwayat Mughirah
دعهما فإني أدخلتهما طاهرتين فمسح عليهما
Bermaksud:
Rasulullah s.a.w. bersabda biarkan kedua-dua khuf itu tidak ditanggalkan, aku
memakai kedua-duanya dalam keadaan bersih maka sapulah ke atas kedua-duanya.
Sekiranya memakai
pembalut tersebut dalam keadaan tidak suci maka pemakainya wajib mengulangi
solatnya semula selepas sembuh.
Sekiranya memakai
pembalut tanpa bersuci terlebih dahulu, maka hendaklah dibuka pembalut
tersebut( sekiranya tidak mendatangkan mudarat) Tetapi jika membukanya adalah
satu kemudaratan maka pemakainya perlulah bertayamum sebagai ganti anggota yang
wuduk.
Sekiranya anggota yang
dibaluti itu adalah anggota tayamum maka memadai dengan menyapu air ke atasnya
dan gugurlah tayamum(Hanabilah). Bagi Syafiiyyah ia wajib mengulangi solat.
2. Mazhab Maliki, Hanafi
dan Hambali(Satu riwayat lain)
Tidak mensyaratkan
pemakai balutan tersebut dalam keadaan suci.
Harus menyapu air ke atas
balutan dan pemakainya tidak perlu mengulangi
solat kerana perkara ini termasuk di dalam kaedah menolak kesulitan
( رفع الحرج )
3. Pendapat yang Rajih
Pendapat Mazhab Maliki
dan Hanafi kerana biasanya balutan ini dipakai dalam keadaan tergesa-gesa dan
terkejut, mensyaratkan dalam keadaan bersuci boleh mendatangkan kesulitan dan
kesukaran kepada umat Islam.
Adakah Dihimpun di
antara Menyapu ke atas Pembalut/Belat dan Bertayamum
1. Mazhab Hanafi dan
Maliki
Menyapu dengan air ke
atas pembalut sudah memadai,kerana air
adalah ganti membasuh anggota yang dibalut.
2. Mazhab Syafie
Pemakai perlu menyapu air
ke atas pembalut dan wajib bertayamum.
Caranya ialah membasuh anggota yang sihat, kemudian menyapu air di atas
pembalut dan bertayamum. Ini adalah berdasarkan kepada Hadis Jabir iaitu
إنما يكفيك أن يتيمم ويعصب على
جرحه خرقة ثم يمسح عليها ويغسل سائر الجسد
Bermaksud:
Sesungguhnya memadailah ia bertayamum dan membalut lukanya dengan perca kain
kemudian ia sapu dengan air ke atas balutan tersebut dan mandi seluruh
badannya.
Keputusan ini dibuat
kerana bertayamum adalah sebagai ganti membasuh anggota yang sakit,manakala
menyapu ke atas balutan adalah sebagai ganti membasuh anggota yang sihat tetapi
ia termasuk di dalam balutan. Sekiranya
balutan tersebut hanya pada anggota yang sakit maka tidak perlu menyapu air ke
atas balutan malah ia memadai dengan bertayamum dan membasuh anggota yang
sihat.
3. Mazhab Hambali
Memadai dengan menyapu
air ke atas balutan tanpa bertayamum kalau dibalut pada tempat yang sakit. Tapi
sekiranya balutan tersebut adalah lebih daripada bahagian yang sakit maka
hendaklah disapu dengan air ke atas balutan dan perlu bertayamum.
Keputusan ini adalah
kerana tayamum adalah ganti bagi anggota yang melebihi keperluan, manakala
menyapu air atas balutan adalah ganti kepada anggota yang diperlukan, Anggota
lain yang sihat perlulah dibasuh dengan
air.
Mengulangi Solat
1. Mazhab Syafie
Mereka berpendapat solat
perlu diulangi dalam tiga keadaan:
- Anggota yang dibaluti atau dibelat itu adalah anggota tayamum(Muka dan tangan).
- Memakai balutan dalam keadaan yang tidak suci, samada anggota yang sakit itu adalah anggota tayamum ataupun tidak.
- Anggota yang sakit itu dibaluti lebih daripada kadarnya(keperluan) sama ada semasa membalut itu dalam keadaan suci ataupun berhadas.
Mereka juga berpendapat
bahawa solat tersebut tidak perlu diulang dalam dua keadaan iaitu:
- Anggota yang dibaluti itu bukan anggota tayamum dan ia tidak dibaluti melebihi daripada keperluan walaupun ketika membalut tempat tersebut dalam keadaan berhadas.
- Anggota yang dibaluti itu bukan anggota tayamum dan ia dibaluti melebihi daripada keperluan dan ketika membalut tempat tersebut pemakainya dalam keadaan suci.
2. Penilaian
Semula(Tarjih)
Membuat penilaian semula
atau melakukan tarjih ke atas semua
pendapat-pendapat di atas adalah penting.
Sekiranya kita berpegang
dengan Mazhab Syafie dan mengamalkan kaifiyat yang dikemukakan oleh beliau ia
akan membawa kesukaran kepada pesakit, malah dalam satu masa ia mungkin
membahayakan pesakit. Ini kerana jenis luka yang dialami oleh pesakit adalah
berlainan dan tahap bahaya terdedah kepada air dan debu tanah juga tidak sama.
Selain daripada itu penggunaan debu tanah ke atas anggota yang luka atau
anggota wuduk yang sihat yang termasuk ke dalam balutan perlu mendapat nasihat
daripada pegawai perubatan kerana
mungkin ada jenis luka yang tidak mengizinkan penggunaan debu tanah,
kerana factor jangkitan kuman juga perlu diberi perhatian.
Oleh itu sebagai
kesimpulan dapatlah dinyatakan bahawa menerima pendapat fuqaha` selain daripada
Syafie adalah lebih aslah(wajar) bagi pesakit dan boleh mengelakkan
keadaan-keadaan yang mungkin mendatangkan mudarat, dengan ini ia bermaksud para
pesakit bolehlah terus membalut lukanya, berwuduk dengan membasuh anggota yang
boleh dibasuh dan menyapu anggota yang dibalut itu dengan air dan ia tidak
perlu lagi mengulangi solatnya apabila sembuh.
Rujukan
1.
Ibn
Qudamah, al-Mughni Wa Syarh al-Kabir, Jil.1.
2.
Wahbah
Zuhaili, al-Fiqh Wa-Adillatuh, jil.1.
3.
Al-Zurqanim,
Syarh al-Zurqani, jil.1.
4.
Abu Dawud,
Sunan Abu Dawud, Jil.1.
5.
Ibn Majah,
Sunan Ibn Majah, jil.1.
6.
Dr. Anisah
Ghani, Fiqh Kontemporari.
7.
Al-Munziri,
Nail Autar, jil. 1,.
8.
Al-San`ani,
Subul al-Salam, jil.1,
Ulasan
Catat Ulasan