Islam Sebagai Agama Persekutuan. Adakah ia memberi jaminan atau tidak terhadap perlaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh di Malaysia kini?




1.0 Pengenalan

Agama Islam merupakan agama bagi Persekutuan seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan akan tetapi agama lain boleh beliaumalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan. Undang-undang Islam dan adat Melayu telah digunapakai di negeri- negeri Melayu sebelum kedatangan Inggeris lagi. Selepas kemasukan Inggeris, undang-undang Islam dan adat sedikit demi sedikit dihakis kuasa perundangannya. Hal ini jika dapat dilihat di dalam kes Ramah lwn. Laton1, di mana Mahkamah Rayuan di Selangor memutuskan bahawa undang-undang Islam ialah undang-undang negeri dan hendaklah mengiktiraf serta menggunapakai undang-undang tersebut.

Apabila kedatangan British ke Tanah Melayu, raja-raja melayu telah menandatangani triti yang mana ia membenarkan agar menerima nasihat daripada pihak British dalam semua bidang melainkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Agama Islam dan adat Melayu.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam samaada daripada sudut perundangan Islam mahupun pentadbiran Islam telah diletakkan di bawah bidangkuasa Negeri-Negeri. Ianya dapat dilihat di dalam Perenggan 1 senarai II iaitu Senarai Negeri Jadual Ke-9, Perlembagaan Persekutuan. Di dalam Perenggan 1 senarai II2 ini menyatakan Perkara yang berkaitan dengan Hal Ehwal Islam seperti berikut:

‘Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan Perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana Perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan Perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.’

Apabila kuasa di dalam tangan setiap negeri, tiap-tiap negeri mempunyai enakmen yang tersendiri mengenai pentadbiran undang-undang Islam. Walaupun peruntukan-peruntukan tersebut hampir sama di antara setiap negeri, akan tetapi masih terdapat perbezaan.3 Persoalannya adakah peruntukan-peruntukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan atau tidak terhadap perlaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh di Malaysia kini? Ataupun adakah perlaksanaan undang-undang Islam itu boleh dilaksanakan namun bukanlah secara keseluruhan di Malaysia?

 

 

2.0Analisis terjaminnya Undang-undang Islam untuk dilaksanakan di Malaysia

2.1    Sejarah

Daripada sudut sejarah itu sendiri dapat kita lihat sebenarnya perundangan Islam itu telah pun wujud sejak daripada Kesultanan Melayu Melaka. Kandungan Kanun Undang-undang Melaka tersebut seolah- olah memusatkan kuasa di tangan sultan, namun kita perlu menyedari bahawa kesultanan itu sendiri dibangunkan atas dasar Islam.4

Selain daripada itu dapat kita lihat PerkaraVII Perlembagaan Negeri Johor 1895, dan peruntukan Bab 51 Perlembagaan Negeri Terengganu 1911.5 Perkara ini juga jelas apabila kedudukan Islam disambut dengan baik oleh keputusan Mahkamah pada tahun 1927 dalam kes Ramah bin Taat lwn Laton binti Malim.6Keputusan di dalam kes ini telah mengiktiraf undang-undang Islam itu bukanlah undang-undang asing di Tanah Melayu ini. Kenyataan tersebut telah memberi kesan dan bukti bahawa undang-undang Islam itu telah lama bertapak.

Meskipun begitu setelah kedatangan British undang-undang Islam itu seolah-olah telah terhakis sehinggakan undang-undang yang berkuatkuasa di Tanah Melayu selepas kedatangan British kira-kira seawal 26 Oktober 1826 iaitu undang-undang Inggeris yang dikuatkuasakan pada Negeri-negeri Selat.7

Namun, Kertas Putih Rangka Perlembagaan telah mengemukakan perkara-perkara penting yang mana antaranya adalah mengenai kedudukan keistimewaan orang melayu dan juga kedudukan agama Islam.8 Ianya merupakan tuntutan orang melayu pada ketika itu supaya menjadikan agama Islam sebagai ‘agama rasmi’ Persekutuan melalui perantaraan UMNO dengan kedudukan raja-raja terpelihara.9 Pada mulanya Raja-raja Melayu tidak bersetuju dengan cadangan untuk memasukkan Islam itu atas pendirian bahawa agama Islam itu adalah di bawah urusan negeri dan harus dikekalkan di bawah kuasa raja bagi setiap negeri.10

Disebabkan kegusaran Raja-raja Melayu pada ketika itu, Suruhanjaya Reid telah membuat laporan yang menyatakan bahawa adalah lebih baik untuk tidak mewujudkan peruntukan yang berkaitan dengan agama Islam di dalam Perlembagaan. Namun begitu, Hakim Abdul Hamid, merupakan salah seorang ahli Suruhanjaya Reid yang beragama Islam, wakil dari Pakistan berbeza pendapat dengan majoriti ahli Suruhanjaya Reid.11 Beliau menyatakan bahawa Islam itu perlulah dimasukkan ke dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan kerana ia merupakan cadangan sebulat suara daripada para perwakilan dan ianya juga tidaklah merbahaya kepada mana-mana pihak, malahan terdapat banyak negara yang mempunyai agama bagi negara masing-masing dan ia bukanah suatu yang sukar untuk dilakukan.12

Maka kita perlulah berterima kasih kepada Hakim Abdul Hamid kerana cadangan beliaulah agama Islam diberikan keistimewaan di dalam Perlembagaan dan ianya menjadi salah satu punca di mana, undang-undang Islam dapat digubal oleh Badan Perundangan Negeri serta agama Islam itu ditadbir dan di bawah bidangkuasa negeri-negeri yang mana diketuai oleh Sultan.13

 

2.2 Terdapatnya Peruntukan-peruntukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan

 

1.     Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan

Ianya merupakan penjelasan bahawa agama Islam merupakan agama persekutuan, namun dalam masa yang sama, mana-mana agama bebas di amalkan secara aman dan damai. Di dalam Perkara 3 ini juga menjelaskan mengenai Ketua Agama Islam adalah pada setiap negeri adalah terletak pada raja-raja. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, maka Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua agama


2.     Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan

Ia menyatakan mengenai kesamarataan. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama adalah sama di sisi undang-undang dan mereka berhak untuk mendapat perlindungan oleh undang-undang.

 

3.     Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan

Di dalam Perkara 11(1) mengenai kebebasan beragama iaitu sesiapapun bebas untuk menganuti dan mengamalkan agamanya. Seterusnya Perkara 11(2) Tiada sesiapa pun boleh dipaksa untuk membayar apa-apa cukai yang hasilnya bukanlah berkaitan dengan agamanya sendiri. Seterusnya, Perkara 11(3) setiap kumpulan berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri termasuklah menubuh, menyelenggara atau memiliki harta atau institusi. Menurut Perkara 11(4) Undang-undang negeri dan undang-undang wilayah Persekutuan boleh mengawal atau menyekat penyebaran kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.

 

4.     Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan

Perkara 12(2) menyatakan bahawa mana-mana kumpulan agama mempunyai hak bagi menubuhkan dan menyelenggara institusi bagi Pendidikan kanak-kanak dalam kumpulan agama itu sendiri dan juga sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyelenggarakan institusi-institusi Islam dan melakukan perbelanjaan yang berkaitan dengan agama Islam. Perkra 12(3) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh dipaksa untuk menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam upacara mana-mana agama melainkan agamanya sendiri. Perkara 12(4) menyatakan bahawa agama seseorang di bawah lapan belas tahun akan ditetapkan oleh ibu bapanya atau penjaganya.


5.     Perkara 121(1A)

Peruntukan ini adalah mengenai Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa- apa Perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

 

6.     Perkara 150(6A)

Di dalam peruntukan ini menyatakan bahawa walaupun dalam keadaan darurat hal ehwal agama Islam atau adat Melayu atau masih lagi terjaga atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak.


7.     Kuasa Yang di-Pertuan Agong boleh dimasukkan di dalam ruang lingkup Islam dalam Perlembagaan.14 Walaupun di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan Baginda sebagai Ketua agama Islam bagi seluruh Persekutuan, tetapi seperti di dalam Perlembagaan ianya merupakan tanggungjawab Baginda dalam memelihara hal ehwal Islam. Hal ini terbukti melalui sumpah yang dilakukan oleh Yang di-Petuan Agong seperti di dalam bahagian 1 Jadual keempat15 di mana Baginda berikrar untuk memelihara agama Islam pada setiap masa dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri. Maka ini jelaslah walaupun Perlembagaan tidak menyatakan bahawa Baginda merupakan ketua agama Persekutuan, akan tetapi ianya merupakan tanggungjawab Baginda dalam memastikan kesucian agama Islam serta kedudukan agama Islam daripada digugat dan sebagainya.16


Peruntukan-peruntukan berikut merupakan sebagai tanda keistimewaan agama Islam di dalam Perlembagaan. Namun begitu terdapat beberapa kes yang menunjukkan konflik dalam pentafsiran agama Islam itu sendiri sama ada Islam itu sebagai undang-undang mahupun Islam itu hanyalah pada perkara-perkara rasmi.

Kes pertama adalah dalam kes Wong Ah Fook lwn. State of Johore (1937)17 telah memberi tafsiran kepada Perkara 57 Perlembagaan Johor iaitu Islam adalah agama rasmi negeri Johor. Namun, mahkamah telah menolak dakwaan pihak pembela yang mendakwa negeri Johor adalah diperintah menurut undang undang Islam.

Kes yang kedua pula adalah Che Omar bin Che Soh v. Public Prosecutor.18 Dalam kes ini di mana Mahkamah Agung mendengar satu rayuan terhadap hukuman mati mandatori yang dijatuhkan terhadap perayu. Perayu telah disabitkan atas kesalahan mengedar dadah dan kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Hukuman Tambahan) 1974. Perayu telah berhujah bahawa hukuman berkenaan adalah tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan. Ini adalah kerana Perlembagaan sebagai undang- undang utama Persekutuan, memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, maka hukuman berkenaan adalah bertentangan dengan Islam, dan dengan itu terbatal. Mahkamah Agung memutuskan bahawa hukuman tersebut adalah sah walaupun ia tidak selari dengan undang undang Islam. Perkara 3 tidak akan merubah perbezaan undang-undang yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Islam juga hanya terhad pada perkara yang berkaitan dengan undang-undang persendirian  seperti  perkahwinan,  cerai  dan  perwarisan.19  Ketua  Hakim  Negara  pada  masa  itu memutuskan bahawa Islam dalam perlembagaan hanya terbatas kepada soal-soal upacara dan seumpamanya.


Kes yang ketiga, Lina Joy lwn. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors20. Di dalam kes ini, di mana perayu merupakan seorang yang dilahirkan sebagai beragama Islam dan nama asalnya adalah Azlina binti Jailani. Kemudian perayu menyatakan bahawa dirinya mempercayai sepenuhnya agama Kristian serta telah dibaptiskan. Pada percubaan pertama, perayu memohon untuk menukar nama pada Jabatan Pendaftaran Negara kepada Lina Lelani dan kemudian kepada Lina Joy atas dasar menukar agama. Perayu ingin Jabatan Pendaftaran Negara untuk memadam perkataan Islam pada kad pengenalan beliau. Walaubagaimanapun Jabatan Pendafaran Negara mengkehendakinya supaya mengemukakan perintah daripada Mahkamah Syariah. Keputusan majoriti memutuskan di mana ia menyatakan Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman. 21.

Kes yang terakhir yang boleh kita rujuk adalah Meor Atiqurrahman bin Ishak dan lain-lain lwn Fatimah bte Sihi dan lain-lain22. Di dalam kes ini di mana plaintif telah dibuang sekolah kerana memakai serban di sekolah. Plaintif telah Memohon perintah mahkamah supaya mengisytiharkan pembuangan sekolah itu adalah tidak sah, terbatal dan tidak berkesan dan mereka hendaklah diterima semula belajar di sekolah itu. Mahkamah telah menerima permohonan Plaintif di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kedudukan Islam adalah tinggi dan mengatasi agama-agama lain.23

Maka di sini jelaslah bahawa penafsiran undang-undang Islam itu sendiri adalah berbeza daripada setiap keputusan yang dikeluarkan melalui beberapa kes yang dikemukakan oleh penulis. Ada yang menyatakan agama Islam hanyalah ritual, ada yang menyatakan bahawa agama Islam itu adalah cara hidup dan sebagainya. Ianya adalah berdasarkan kecenderungan hakim dan cara mentafsirkan definisi Islam itu sendiri dalam memutuskan sesuatu keputusan. Namun sekurang-kurangnya perkara- perkara berkaitan Islam ini dibincangkan daripada masa ke masa yang mana paling tidak pun perlaksanaannya undang-undang Islam ini semakin lama semakin baik.


2.3    Penubuhan Institusi-institusi Islam di Malaysia

Dengan penubuhan institusi-institusi Islam ini, makanya perlaksanaan Islam itu sendiri di dalam pentadbiran dapat dijalankan dengan mudah dan teratur. Berikut merupakan di antara institusi-institusi Islam yang telah ditubuhkan di Malaysia:

2.3.1     2.3.1 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)24

Penubuhan Jakimbermuladengan Majlis Kebangsaan Bagi Hal EhwalAgama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 1968yangmanapenubuhannyatelahdipersetujuioleh Majlis Raja-Raja. Pada tahun 1974 pula, Urus setia MKI telah dinaikkan tarafnya kepada sebuah Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri dan diberi nama Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS). Selaras dengan perkembangan negara dan keperluan masyarakat Islam semasa, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) ini telah disusun semula. Maka pada 2 Oktober 1996, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dengan perakuan supaya BAHEIS, Jabatan PerdanaMenteri dinaikkan taraf menjadi sebuah Jabatan berkuat kuasa 1 Januari 1997 dengan nama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara peranan dan fungsi utama JAKIM adalah menggubal dan menyeragamkan undang- undang syarak, sebagai penyelaras dan pentadbir agama islam dan penyelaras dalam pembangunan Pendidikan Islam

2.3.2     2.3.2 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia(JKSM)25

3 Julai 1996 Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan penyusunan semula Mahkamah- mahkamah Syariah seluruh Malaysia, maka pada November 1998 Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia(JKSM) telah ditubuhkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Tubuhkan JKSM oleh Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Syarie Malaysia juga Ketua Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah.
  2. Mewujudkan struktur organisasi JKSM
  3. Mewujuddkan empat jawatan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah bagi menimbang semula kes rayuan Mahkamah Rayuan Negeri-negeri dan wilayah-wilayah
  4. Mengekalkan struktur Mahkamah Syariah Negeri-negeri dan wilayah-wilayah termasuk pentauliahan Ketua Hakim Syarie serta pegawai-pegawai Syariah.
  5. Mewujudkan satu Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah.
  6. Kerajaan Persekutuan akan membiayai kos Pegawai Syariah.


 2.3.3 Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR)

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah diisytiharkan penubuhannya pada 27 Mac 2004 bersamaan 6 Safar 1425H oleh YAB Dato’ Seri Abdullah bin Ahmad Badawi semasa mengumumkan kabinet kerajaan Malaysia. Dengan pengisytiharan penubuhan JAWHAR menjadi titik permulaan bagi Kerajaan Persekutuan membantu dalam memajukan harta umat Islam. Penubuhan JAWHAR ini bertujuan untuk memastikan bahawa pentadbiran harta wakaf, zakat dan urusan haji di seluruh negara lebih tersusun, sistematik dan berkesan. Ia juga bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan ke tahap yang lebih cemerlang.

2.3.4     2.3.4 Majlis Agama Islam Negeri26

Secara asasnya setiap negeri mempunya Majlis Agama Islam yang tersendiri kerana disebabkan kuasa mentadbir Hal ehwal Islam itu diberikan kepada negeri. Antara fungsi dan bidangkuasa Majlis Agama Islam Negeri adalah :

1.     Memelihara dan mempertahankan kedaulatan agama Islam sebagai agama negeri dan agama Persekutuan

2.     Menggubal dasar serta mentadbir hal ehwal agama Islam dan undang-undang islam seperti yang termaktub di dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan

3.     Memastikan semua dasar dan hukum hakam yang diperkenankan oleh Sultan sebagai Ketua Agama Islam dipatuhhi oleh semua pihak


2.3.5 Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia27 


    Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ditubuhkan pada awal tahun 1970 sebagaimana diperuntukan pada Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Jawatankuasa ini merupakan badan pengeluar fatwa di peringkat Kebangsaan atas apa-apa perkara yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja. Sementara MKI yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri merupakan badan penyelaras di peringkat Persekutuan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada Mac 1968. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah bersidang buat pertama kalinya pada 23 hingga 24 Jun 1970 yang dipanggil dengan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan tersebut berlangung sebanyak 18 kali dan yang terakhir diadakan pada 14 Mei 1980. Kemudiaannya penggunaan perkataan Persidangan ditukar kepada perkataan Muzakarah. Maka pada tarikh 28 hingga 29 Jun 1981 diadakan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Kali Pertama.

Jawatankuasa ini juga keahliannya terdiri daripada Seorang pengerusi yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) di kalangan ahlinya, Mufti tiap-tiap negeri yang mengambil bahagian atau seorang yang mewakili Negeri dalam Hal Ehwal Agama Islam, Sembilan orang alim ulama dan kalangan profesional serta pakar-pakar muslim yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan Seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang- undang atau dari profession undang-undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

Tugas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengikut pada Perkara 14 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja- Raja. Jawatankuasa ini akan mengemukakan pendapat-pendapatnya kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang kemudian menghantarkannya bersama dengan pengesyoran-pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja.

2.3.6 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)28

IKIM adalah sebuah institusi pemikir dan penyelidikan dan ia telah didaftarkan sebagai Syarikat Berhad dengan jaminan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 18 Februari 1992, di bawah naungan Kerajaan Malaysia. IKIM diterajui oleh barisan Lembaga Pengarahyangahli-ahlinyaterdiri daripadatokoh-tokoh sektor awam dan swasta. IKIM melaksanakan Persijilan ISO 9001: 2000 dalam skop “Research and Resource Centre for the Understanding of Islam.” visi IKIM adalah untuk menjadi sebuah Institusi yang cemerlang dalam merangka kerja yang teratur ke arah peningkatan kefahaman Islam demi membina peradaban. Misi IKIM adalah untuk berusaha meningkatkan kefahaman Islam di kalangan orang-orang Islam dan bukan Islam dengan menyerlahkan nilai-nilai sejagat dan prinsip-prinsip Islam yang menyeluruh,benardanyangberhubungkaitdengankehidupan manusia. Antara fungsi IKIM adalah :

      1.     Membetulkan imej Islam yang telah dicemarkan oleh pelbagai pihak.

2.     Mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati supaya semua orang boleh menghayati kemuliaan Islam

3.     Mengadakan forum bagi para sarjana Islam dan bukan Islam untuk membincangkan dan menganalisis isu yang menjadi kepentingan bersama


2.3.7     2.3.7 Tabung Haji (TH)

Idea penubuhan Perbadanan Wang Simpanan bakal-bakal Haji (PWSBH) oleh Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz pada Disember 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 1963, perbadanan itu adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Mulai 30 September 1963, PWSBH melakar sejarah dengan membuka kaunter menerima tabungan daripada bakal haji.

Bagi memantapkan lagi peranannya dan memudahkan penyelarasan aktiviti penabungan serta pengurusan haji yang semakin berkembang, pada 1969, PWSBH digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwa Haji, yang ditubuhkan lebih awal pada 1951 dan beroperasi di Pulau Pinang. Badan yang digabungkan ini dinamakan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), kemudian pada 1995 ditukar kepada Lembaga Tabung Haji sehingga kini. Dengan tertubuhnya TH, urusan ibadat haji umat Islam negara ini menjadi lebih mudah dan teratur.

Hakikatnya banyak lagi institusi-institusi Islam yang ditubuhkan bagi melicinkan pentadbiran Islam itu dan juga terdapat fungsi-fungsi yang tersendiri. Antara institusi-institusi Islam lain yang penulis tidak nyatakan adalah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), Mahkamah-mahkamah Syarie di setiap negeri dan banyak lagi. Hal yang demikian telah membuktikan bahawa penerimaan Islam dalam pentadbiran itu semakin lama semakin kuat untuk dilaksanakan di Malaysia. Boleh dikatakan dalam setiap aspek pasti terdapat elemen Islam itu . Walhal di dalam sistem perbankkan sendiri telah wujudnya perbankkan Islam yang mana dahulunya hanya terdapat sistem perbankkan konvensional.


   3.0 Cabaran Pelaksanaan Undang-Undang Islam secara Menyeluruh di Malaysia

Perlaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh di Malaysia adalah cita cita dan impian setiap warganegara yang peduli dan memahami kepentingan undang-undang Islam. Kesedaran undang undang Islam dilaksanakan dan diimplementasikan peruntukan-peruntukannya yang sedia ada serta dirangka peruntukan-peruntukan bagi melengkapkan lagi undang-undang Islam di Malaysia akan menjadi titik tolak kepada perlaksanaan Undang - undang Islam di Malaysia.

Namun dalam pada itu, cita cita besar ini tidak sesekali dapat direalisasikan dengan mudah kerana sudah pastinya ia perlu melalui cabaran cabaran semasa kerana landskap negara ini bukanlah seperti negara negara Islam yang lain dari segi penduduk, politik, sosial ekonomi dan sebagainya. Meskipun terdapat banyak kelebihan yang berpihak kepada perlaksanaan undang-undang Islam secara meneyeluruh di Malaysia namun ianya berhadapan dengan cabaran dan tentangan yang hebat.

3.1            Cabaran pada peringkat Eksekutif

Di peringkat ini boleh kita katakan peranan ahli politik dalam mempengaruhi perlaksanaan undang- undang Islam secara menyeluruh. Dalam cabaran ini, kami cuba untuk menfokuskan tentang pandangan ahli politik tentang perlaksanaan undang-undang Islam atau mana mana undang-undang Islam samada pada peringkat negeri atau persekutuan. Dalam penulisan ini, kami menampilkan ahli-ahli politik yang bersuara dan mengeluarkan pernyataan berkenaan dengan undang-undang Islam.

Dalam keratan Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Disember 2014,29Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penolakan hukum hudud perlu dimuktamadkan kerana itu adalah aspirasi pengundi dalam memberi sokongan kepada pembangkang untuk merampas Putrajaya.

“Kita hanya boleh berjaya sekiranya pendirian dan kedudukan kita jelas bahawa Pakatan yang memerintah di Putrajaya (nanti) tidak akan melaksanakan undang-undang hudud.”

Seperti yang kita sedia maklum bahawa undang-undang jenayah Syariah adalah di bawah bidang kuasa Negeri. Hudud ini menjadi titik permulaan pelengkap kepada cita-cita perlaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh di Malaysia. Tanpa undang-undang ini, cita-cita ini sudah pasti akan terkubur. Menurut pernyataan itu, dapat kita tafsirkan bahawa kuasa besar gabungan parti besar dalam Malaysia tidak akan sesekali melaksanakan hudud di Malaysia, maka dengan ini ianya menjadi satu tamparan yang hebat ke arah perlaksanaan undang undang Islam secara menyeluruh di Malaysia.

Selain itu, dapat kita lihat penentangan atau pertikaian tentang undang-undang Islam menerusi pernyataan Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Mstar bertarikh 28 Ogos 2012.30

“Saya tolak hudud Pas, saya tidak pernah kata saya tolak hudud Islam. Kita kena bezakan antara dua ini... lain langsung," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Beliau berkata hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh parti pembangkang itu mirip kepada hukuman yang lebih berat dan tiada di dalam al-Quran.


"Saya tidak boleh sokong itu, tidak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, dia tidak Islam. Islam menuntut apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Ini tidak adil, orang Islam potong tangan tapi orang bukan Islam kena penjara dua bulan," katanya.

Menjadi tumpuan utamanya di sini adalah Tun Dr Mahathir mempertikaikan hukuman potong tangan kepada mereka yang mencuri. Hal ini dapat dijawab menerusi Ayat 38 Al Quran Surah Al Maidah:

Maksudnya: Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Pertikaian dan salah faham dalam kalangan ahli politik ini sudah semestinya mengundang kepada terhalangnya perlaksanaan Islam secara menyeluruh di Malaysia. Oleh itu, jelaslah bahawa ahli politik menjadi cabaran yang amat besar ke arah melaksanakan undang undang Islam secara menyeluruh di Malaysia.

Mengambil kira perspektif kepartian juga adalah perkara yang pastinya boleh memberi kesan kepada perlaksanaan undang-undang Islam di Malaysia. Di sini kami huraikan serba sedikit berkenaan dengan pandangan parti parti politik di Malaysia.

3.2            Cabaran pada peringkat Parti Politik

Kontroversi yang timbul ekoran pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam pada 2001 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Penentangan penubuhan ini antaranya ialah dari kalangan pihak DAP dan disusuri dengan MCA dan juga gerakan pemimpin tertentu dalam PKR. Pendapat mereka yang membantah penubuhan Malaysia sebagai Negara Islam adalah tidak lain dan tidak bukan ialah negara Islam tidak secocok dengan sifat sekular perlembagaan negara.

Menurut Abdul Aziz Bari berkenaan dengan negara Islam adalah sebuah negara yang dasar dan pentadbirannya berpandukan kepada hukum dan nilai nilai Islam sebagaimana yang terkandung di dalam Al Quran dan As Sunnah.31 Selain penentangan dari parti bukan Islam, parti yang majoritinya orang Islam juga turut memberikan tekanan ke arah merealisasikan prinsip Islam di negara kita. Di Malaysia, PAS begitu komited dengan kerja kerja ke arah membina negara Islam, namun demikian, UMNO jelas sekali tidak menunjukkan komitmen yang jelas meskipun UMNO tidak menolak negara Islam namun UMNO tetap tidak bersetuju dengan perjuangan PAS yang ingin menegakkan negara Islam yang sebenar.32 Perbezaan ini jelas menunjukkan bahawa perpecahan antara dua parti besar ummat Islam ini dengan mempertahankan hal masing masing akan menbantutkan lagi proses perlaksanaan undang undang Islam secara menyeluruh di Malaysia.

Hal ini jika ingin dihuraikan secara lebih tererinci, perlu kita melihat sejauhmanakah parti ini memberi kesan kepada perlaksanan undang undang Islam secara menyeluruh. Ianya tidak lain dan tidak bukan sekiranya parti gabungan ini tidak bergabung dan bersatu maka kuasa pemerintahan negara yang dipimpin mana-mana parti politik tidak dapat melaksanakan undang-undang ini kerana mana mungkin bilangan ummat Islam yang hanya sedikit komited dengan matlamat ini mampu menandingi mereka yang menentang tujuan ini. Jadi di sini jelaslah bahawa kuasa politik yang dipegang oleh orang Melayu Islam perlulah diberikan sepenuhnya kepada mereka yang benar benar menginginkan matlamat ini dilaksanakan.

3.3               Halangan daripada Perlembagaan itu sendiri

Seperti yang kita ketahui bahawa setiap undang-undang yang bakal diperuntukkan oleh Negeri adalah Undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam. Namun, peruntukan undang-undang tersebut adalah terhad dan hanya berdasarkan apa yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kami memaksudkan bahawa perkara-perkara yang berada di bawah bidangkuasa Negeri yang mana Ianya dapat dilihat di dalam Perenggan 1 senarai II iaitu Senarai Negeri Jadual Ke-9, Perlembagaan Persekutuan. Di dalam Perenggan 1 senarai II33 ini menyatakan Perkara yang berkaitan dengan Hal Ehwal Islam. Makanya Badan Perundangan Negeri hanya boleh memperuntukkan perkara- perkara yang dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kita juga mengetahui bahawa setiap undang-undang yang telah diperuntukkan oleh Persekutuan, makanya Badan Perundangan Negeri tidak boleh memperuntukkan semula perkara tersebut. Sebagai contoh bagi kesalahan jenayah syariah Negeri Melaka berkaitan dengan Minum Arak34 . Sekiranya peruntukan mengenai minum arak ini telah diperuntukkan di dalam Persekutuan pastilah tiada satu negeri pun boleh memperuntukkan kesalah yang sedemikian


4.0 Kesimpulan

Dapat kita lihat bahawa sebenarnya banyak peruntukan-peruntukan yang mana sebenarnya menampakkan bahawa Undang-undang Islam itu mampu dilaksanakan di Malaysia ini secara menyeluruh. Disebabkan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan menyebabkan agama Islam ini mendapat keistimewaan yang lebih berbanding agama-agama lain di Malaysia. Seperti yang kita ketahui, terlalu banyak institusi-institusi Islam yang telah dibina bagi memudahkan pentadbiran Islam.

Namun perlulah kita ketahui, bahawa setiap perkara yang diusulkan sama ada oleh rakyat mahupun ahli politik itu sendiri perlu dibincangkan di dalam Parlimen. Segala tindakan, kajian dan pelbagai perkara telah dilakukan bagi perlaksanaan undang-undanh Islam di Malaysia ini. Namun apabila perkara tersebut sampai kepada peringkat Persekutuan, telah berlaku senario yang sebaliknya sama ada perkara tersebut tidak dibincangkan, mahupun menjadi perkara yang terus dibincangkan tanpa ada suatu kata putus bagi perlaksanaan tersebut.

Jadi, setelah melihat kepada peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan serta perkara- perkara yang menjamin perlaksanaan Islam di Malaysia serta cabaran atau halangan yang terdapat daripada merialisasikan perlaksanaan Undang-undang Islam ini, maka sebenarnya perlaksanaan Undang-undang Islam ini dapat direalisasikan walaupun tidak sepenuhnya. Kita haruslah melihat kepada usaha-usaha yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada daripada pihak kerajaan sendiri mahupun bukan kerajaan bagi merialisasikan perkara ini. Semakin hari sebenarnya semakin kukuh pentadbiran Islam ini.

Kami juga telah menghadiri ebuah Forum Bicara Ilmiah: Masa depan Perundangan Islam Era Malaysia Baharu dan Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz menyatakan bahawa terdapat pengharmonian undang-undang dengan nilai-nilai Islam. Makanya walaupun undang-undang Islam itu sendiri tidak dapat dilaksanakan secara keseluruhan di Malaysia, namun sebenarnya nilai-nilai Islam itu sendiri telah diserap ke dalam undang-undang yang sedia ada.

Maka jelaslah di sini bahawa terdapat usaha-usaha dalam melaksanakan nilai-nilai Islam di Malaysia dan semakin hari semakin baik. Namun kita memerlukan masa bagi mengatasi cabaran- cabaran yang sedia ada seperti memberi kefahaman yang jelas kepada ahli politik, menggubal peruntukan yang menghadkan bidangkuasa Islam dan sebagainya. Kami ingin menegaskan bahawa perlaksanaan undang-undang Islam itu ada dan semakin kuat, namun perlaksanaan tersebut bukanlah secara menyeluruh di Malaysia disebabkan kekangan yang telah kami nyatakan pada penulisan awal.


5.0  Rujukan

Ramah binti Taat lwn Laton binti Malim [1927] 6 FMSLR 128

Perlembagaan Persekutuan. (2014). International Law Book Services

Ahmad Mohamed Ibrahim. (1997). Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia. Hlmn 6

Abdul Aziz Bari. (2003). Perlembagaan Malaysia: Asas dan masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn 13

Shamrahayu binti A. Aziz. (2018). Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Kuala Lumpur: IKIM Press. Hlmn 9

Ramah binti Taat lwn Laton binti Malim [1927] 6 FMSLR 128

Ahmad Ibrahim, Ahilemah Joned. (2005). Sistem undang-undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn 71

8 Abdul Aziz Bari. (2003). Perlembagaan Malaysia: Asas dan masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn 18

9   https://tunabdulhamid.me/2013/05/55-tahun-pelaksanaan-peruntukan-peruntukan-mengenai-islam-dalam-perlembagaan- persekutuan-masalah-dan-penyelesaian/

10 Shamrahayu binti A. Aziz. (2018). Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Kuala Lumpur: IKIM Press. Hlmn 10

11  Ibid. Hlmn 13

12  Ibid. Hlmn 13

13 Perkara 3 ,Perlembagaan Persekutuan. (2014). International Law Book Services.

14 Nazri Muslim, A., Hidayat Buang. Islam dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif Hubungan Etnik di Malaysia. Jurnal Kemanusian, 2, 115-129.

15 Perlembagaan Persekutuan. (2014). International Law Book Services.

17 Nazri Muslim, A., Hidayat Buang. Islam dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif Hubungan Etnik di Malaysia. Jurnal Kemanusian, 2, 115-129.

18 Che Omar bin Che Soh v. Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 56

19 Abdul Aziz Bari, F., Sufian Shuaib. (2004). Contitutions of Malaysia: Text and Commentary. Selangor: Pearson Malaysia Sdn. Bhd. Hlmn 7.

20 Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 6 MLJ 193

21 Wan Ahmad Fauzi Bin Wan Husain, A., Che Ngah & Mohamed, Anwar Omar Din. (2017). Islam Agama Bagi Persekutuan: Satu Kajian Sejarah Perundangan. Akademika,3(87), 179-195.

22 Meor Atiqurrahman bin Ishak dan lain-lain lwn Fatimah bte Sihi dan lain-lain [2000] 5 MLJ 375

23 Nazri Muslim, A., Hidayat Buang. Islam dalam Perlembagaan Persekutuan daripada Perspektif Hubungan Etnik di Malaysia. Jurnal Kemanusian, 2, 115-129.

24 JAKIM. (2012). Kejayaan institusi-institusi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Retrieved from http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/Kejayaan_Institusi_Agama_di_Bawah_Menteri_JPM.pdf

25 http://www.esyariah.gov.my/portal/page/portal/Portal%20E-Syariah%20BM/Portal%20E-Syariah%20Profil%20JKSM#f

26 Muhammad Haniff Baderun, Zuliza Mohd Kusrin. (2015). Fungsi dan Bidangkuasa Majlis Agama Islam. Retrieved from http://ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/09/15-Muhammad-Haniff-Baderun.pdf.

27 http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/latar_belakang/penubuhan

28 JAKIM. (2012). Kejayaan institusi-institusi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Retrieved from http://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/Kejayaan_Institusi_Agama_di_Bawah_Menteri_JPM.pdf 

29 http://www.utusan.com.my/berita/politik/pakatan-pembangkang-perlu-sepakat-tolak-hudud-lim-guan-eng-1.36202

30 https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2012/08/28/saya-tolak-hudud-pas-hudud-islam-saya-terima--dr-mahathir

31 Abdul Aziz Bari. (2003). Perlembagaan Malaysia: Asas dan masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

33 Perlembagaan Persekutuan. (2014). International Law Book Services

34 Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 memperuntukkan seperti berikut:

(1)Manamana orang yang minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan adalah merupakan satu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya sekali.

(2)  Mana-mana orang yang membuat, menjual, menghadiah, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh empat bulan atau kedua-duanya sekali.



Senarai Kes Rujukan

1.     Ramah binti Taat lwn Laton binti Malim [1927] 6 FMSLR 128

2.     Wong Ah Fook lwn. State of Johore [1937] MLJ 128

3.     Che Omar bin Che Soh v. Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 56

4.     Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 6 MLJ 193

5.     Meor Atiqurrahman bin Ishak dan lain-lain lwn Fatimah bte Sihi dan lain-lain [2000] 5 MLJ 375


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Konsep Salam

Saidina Umar Dan Isterinya

CERAI TAKLIK DAN PERLAKSANAANNYA DI MALAYSIA