Nama-Nama Syaitan Di Dalam Al-Fatihah
Al-Fatihah adalah satu rukun dalam solat, apabila cacat bacaannya maka
rosaklah solat. Oleh itu perbaikilah bacaannya dengan ilmu tajwid. Bukan
setakat bacaannya saja rosak malah kita menyebut nama syaitan di dalam solat
kita. Berikut diperturunkan nama syaitan laknat yang wujud didalam Al-Fatihah,
sekiranya kita tidak berhati-hati.
Nama syaitan
1] DU-LI-LAH (bila dibaca
tiada sabdu) sebetulnya DHU-LIL-LAH
2] HIR-ROB (bila dibaca dengan sabdu) sebetulnya HI-ROB
3] KIY-YAU (bila dibaca dengan sabdu) sebetulnya KI-YAU
4] KAN-NAK (bila dibaca dengan sabdu) sebetulnya KA-NAK
5] KAN-NAS (bila dibaca dengan sabdu) sebetulnya KA-NAS
6] I-YA (disebut tanpa sabdu) sebetulnya IY-YA. Iya bermaksud ‘matahari’
Dalam ayat ke 5, Jika salah bacaannya akan bermaksud “kepada mataharilah
yang kami sembah dan kepada matahari kami meminta pertolongan”!!!!
7] SIROTHOLLAZI…………. sehingga habis hendaklah dibaca tanpa henti.
8] AMIN .hendaklah mengaminkan Al-Fatihah dengan betul iaitu AA…dua
harakat, MIN…. 3 harakat, semoga Amin kita bersamaan dengan Amin malaikat
Insya-Allah. semoga kita menjadi orang yang sentiasa membaiki bacaannya.
JAWAPAN DARI Dr. Amran Kasimin (Mingguan Malaysia 16 Julai 2006)
SEBUTAN IBLIS DALAM SOLAT
Menyebut tentang syaitan, perlu rasanya dirujuk
tulisan Raji al-Asmar dalam bukunya: Asy-Syayatin: Haqiqatuha, yang menyebut
bahawa perkataan “iblis” disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali, manakala
kalimah ‘syaitan’ itu disebut sebanyak 88 kali. Dalam buku ini diperturunkan
ayat-ayat berkaitan yang menyebut nama-nama tersebut.
Keterangan ini membuktikan, mempercayai tentang
kewujudan syaitan juga iblis itu adalah suatu yang termaktub dalam kalamullah.
Ia bukan dongeng atau rekaan.
Walaupun demikian terlalu banyak telah direka oleh
manusia mengenainya, termasuk namanya seperti toyol, hantu raya, langsuir,
bajang dan lain-lain yang melahirkan pelbagai amalan bidaah dan khurafat. Dalam
keadaan tertentu nama-nama elok disebut, seperti nama-nama wali, syeikh, embah,
nenek, panglima hitam dan sebagainya, padahal apa yang disebut itu lebih
merujuk kepada jin-jin.
Di dalam hadis-hadis juga tersebut perkataan
“syaitan.” Dalam sebuah hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah
dijelaskan tentang syaitan yang mengganggu nabi ketika sedang sembahyang.
Dalam hadis lain dijelaskan tentang syaitan yang
menyerupai seorang syeikh dari Najd yang masuk bersama himpunan orang-orang
Quraisy yang diadakan di Darunnadwah, iaitu satu mesyuarat untuk membunuh nabi.
Syaitan telah memberi nasihat bagaimana hendak membunuh baginda. Peristiwa itu
berlaku sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.
Dalam peperangan Badar pun iblis telah datang
mengetuai pasukan yang terdiri daripada syaitan, yang ada bersamanya bendera.
Iblis menjelma menyerupai seorang lelaki daripada Bani Mudallij, manakala
syaitan menyerupai rupa Suraqah bin Malik bin Ja’syam.
Dalam sebuah hadis yang ditakhrij oleh at-Turmizi
dan an-Nasaiy daripada Aisyah, beliau berkata telah bersabda Rasulullah s.a.w.
yang bermaksud: Sesungguhnya aku melihat syaitan-syaitan daripada golongan jin
dan manusia telah lari daripada Omar. Dalam hadis daripada Hamnah Jahsy, beliau
berkata, dia mengalami masalah darah haid yang keluar begitu banyak. Beliau
memberitahu hal ini kepada Rasulullah. Baginda bersabda: Sesungguhnya ia adalah
satu sepakan daripada sepakan syaitan.
Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik pula
menyatakan bahawa beliau telah mendengar baginda bersabda yang bermaksud:
Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada
jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing
daripada kumpulannya.
Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar, ia berkata
bahawa beliau pada satu ketika duduk di sisi nabi. Tiba-tiba datang seorang
lelaki yang paling buruk mukanya, juga pakaiannya, manakala bajunya terlalu
busuk. Dia datang melangkahi orang ramai sehingga ia duduk di hadapan
Rasulullah. Lelaki itu berkata: Siapa yang menjadikan langit. Baginda menjawab:
Allah. Siapa yang menjadi Allah. Tanyanya lagi. Subahanallah jawab nabi. Lelaki
tadi memegang dahinya lalu mengangguk-anggukkan kepalanya. Ia berdiri lalu
pergi. Baginda mengangkat kepalanya lalu bersabda: Ini adalah iblis, datang
kepada kamu untuk menimbulkan syak terhadap agama kamu. Hadis-hadis yang tersebut
di atas hanya menyebut kalimah “iblis” ataupun “syaitan” tanpa menyebut
siapakah nama syaitan ataupun iblis yang terlibat dengan peristiwa-peristiwa
tersebut.
Raji al-Asmar dalam bukunya Al-Jinn ada menyebut
nama “Marid,” iaitu syaitan daripada golongan jin. Jin apabila ia kufur, zalim
dan melampau dan melakukan kejahatan dinamakan “syaitan”.
Apabila makhluk ini berupaya menggangkat sesuatu
yang berat dan mencuri pendengaran dinamakan “Marid”. Andainya makhluk ini
mempunyai keupayaan lebih daripada itu dinamakan “Ifrit.”
Dalam buku yang sama muka sura. 51-53, Raji
al-Asmar ada menyebut nama Al-Ghaddar, Al-Khabil dan Al-Hajis, iaitu nama-nama
jin jahat yang mengganggu manusia. Al-Khabil misalnya dirujuk sebagai jin yang
merasuk manusia yang boleh menyebabkan gila, Aal-Hajis ialah jin khas yang
boleh menyebabkan manusia berasa waswas, juga yang membisikkan telinga
menyebabkan timbul waswas.
Nama jin lain yang disebut ialah At-Tabi’, ataupun
Qarin, yang hidup bersama dengan manusia, terdiri daripada lelaki dan
perempuan, manakala Al-Hatif ialah jin yang suaranya dapat didengar oleh
manusia tetapi tidak dapat dilihat.
Jin yang dinamakan Al-Amir tinggal di tempat
tertentu di tempat tinggi seperti di kemuncak gunung, di lembah-lembah, rumah
yang ditinggalkan, di kubur atau di bumbung rumah. Nama lain ialah Asy-Syaqq
iaitu syaitan yang boleh menjelma separuh bentuk manusia yang kadang-kadang
mengganggu manusia ketika musafir keseorangan.
Nama lain yang lebih dikenali ialah al-Wilha, iaitu
golongan jin yang mengganggu manusia ketika mengambil air sembahyang,
menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk berulang kali. Manakala “Khanzab”
ialah syaitan yang mengganggu manusia ketika mendirikan sembahyang, menyebabkan
seseorang itu berniat berulang kali, memesongkan ingatan manusia kepada
peristiwa di luar sembahyang menyebabkan hilang rasa khusyuk.
Abdullah bin Muhammad bin Ubaid meriwayatkan satu
hadis, daripada Mujahid, ia berkata: Iblis mempunyai lima anak, masing-masing
diberi tugas, iaitu Thabur, A’war, Masuth, Dasim dan Zalambur. Thabur berurusan
menggoda orang yang ditimpa musibah agar meratap, mengoyak-ngoyak pakaian dan
meratap ratapan jahiliah: A’war ditugaskan menggoda manusia melakukan zina.
Masuth ditugaskan menggoda manusia agar mencampuradukkan berita benar dengan
palsu serta menimbulkan fitnah. Dasim pula menggoda suami agar marah isteri,
manakala Zalambur menipu menyemarakkan manusia agar menipu ketika di pasar.
Nama-nama iblis dan syaitan yang termaktub dalam
al-Quran juga daripada hadis-hadis serta fungsi masing-masing telah dijelaskan.
Banyak lagi nama iblis dan syaitan yang terdiri daripada golongan jin, namun
nama-nama seperti tertera iaitu du li lah, hir rob, kiyyau, kannak dan kannas
tidak termasuk dalam nama-nama diperturunkan. Biarpun tidak mustahil andainya
nama-nama yang terdapat dalam bacaan al-Fatihah yang cacat bacaan, namun
setelah meneliti nama-nama yang dikatakan wujud dalam al-Fatihah yang salah
bacaannya dirasakan hanya rekaan belaka, tanpa sumber yang utuh atau boleh
dipertanggungjawabkan.
Hanya satu nama iaitu Kannas atau tersebut dalam
al-Munjid, yang bermaksud sesuatu yang disapu oleh penyapu. Walaupun demikian
kalau ia dieja sebagai “khannas,” ia adalah merujuk kepada nama syaitan yang
menahan dan melambat-lambatkan seseorang untuk zikrullah.
Dalam kitab-kitab fikah, yang membicarakan tentang
bacaan al-Fatihah yang merupakan salah satu rukun sembahyang, nama-nama syaitan
seperti didakwa langsung tidak disentuh.
Disebut bahawa orang yang bersembahyang mesti
memelihara semua huruf al-Fatihah juga segala tasydidnya. Andainya tergugur
satu huruf atau satu tasydid atau ditukar satu huruf al-Fatihah dengan huruf
lain, ataupun rosak baris yang mengubahkan maknanya, maka tidak sahlah
sembahyang yang dilakukan, andainya ia melakukan dengan sengaja dan ia ketahui
mengubah maknanya.
Andainya keadaan ini berlaku dengan tidak sengaja,
jahil dan tidak mengubah maknanya, maka tidak batallah sembahyang, tetapi
hendaklah membacanya semula.
Implikasi daripada kandungan boleh menyebabkan
timbulnya kesan buruk. Orang yang tinggi pengaruh gangguan sembahyangnya, yang
mengambil wuduk melebihi kebiasaan, berulang kali mengangkat takbir ketika
niat, mengulangi huruf-huruf kesamaran ketika membaca al-Fatihah dan sering
lupakan rakaat sembahyang akan berasakan sembahyang itu satu penyeksaan.
Lebih teruk ialah orang yang lupakan bacaan
sembahyang dan berasa terganggu sebaik masuk waktu sembahyang. Bagi orang
seperti ini sembahyang merupakan sesuatu yang meragut kebahagiaan daripada
ketenangan hidupnya. Sebaliknya, jika ia tidak sembahyang, keadaan seperti ini
tidak timbul. Kerana itu berkemungkinan seseorang itu akan terus meninggalkan
sembahyang.
Keadaan akan menjadi lebih parah apabila orang yang
terganggu sembahyangnya menyedari adanya sebutan nama-nama iblis atau syaitan
dalam bacaan al-Fatihah. Orang yang bermasalah membaca al-Fatihah memang selalu
silap ketika membacanya terutama pada huruf kesamaran, pada tasydid dan
sebagainya. Kerana itu akal fikirannya akan tertumpu bahawa apa yang disebut
dalam al-Fatihah melibatkan sebutan nama-nama iblis dan syaitan. Kerana itu
besar kemungkinan bahawa mereka tidak akan sembahyang langsung, kerana ia hanya
akan menyebut nama-nama iblis dan syaitan dalam sembahyang yang didirikan.
Nama-nama yang disebutkan di atas tidak ada punca
sandarannya. Sebenarnya kalau hendak dikeluarkan nama-nama dalam al-Fatihah,
lalu didakwa sebagai nama syaitan, setiap kalimah itu boleh didakwa sebagai
nama syaitan, kerana ia tidak ada punca sandarannya.
Persoalan remeh-temeh seperti ini hakikatnya tidak
perlu ditonjolkan. Bagi pembaca pula, selain perlu merujuk kepada hukum, akal
sendiri boleh memikiri tentang lojiknya. Terlalu banyak masalah di kalangan
orang Islam yang masih belum selesai dan perlu diselesaikan. Jangan buang
tenaga memikiri sesuatu yang tidak bermanfaat.
Dalam mempelajari ilmu fikah, termasuklah
perkara-perkara yang berkaitan dengan fardu ain, kita banyak didedahkan dengan
tafsiran yang berlainan daripada pendapat ulama yang muktabar, tentang hukum
halal dan haram, najis atau suci.
Sayangnya, dalam keadaan tertentu, pembaca
seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja tanpa dapat memahami pendapat yang mana
sewajarnya diikuti.
Dan apabila timbul
persoalan-persoalan yang membicarakan sah atau tidaknya sesuatu sembahyang yang
dilakukan, termasuklah sebutan nama-nama jin dan syaitan seperti yang
kemukakan, kecelaruan akan lebih ketara yang ada kalanya seumpama tidak ada
jawapan. Sewajarnya persoalan-persoalan seperti ini bukan menjadi persoalan
pokok yang perlu dihuraikan
Ulasan
Catat Ulasan